Saturday, August 1, 2009

The following is the extract speech by YAB Tan Sri Muhyiddin Hj Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia

Maktab Kirkby merupakan satu eksperimen pendidikan yang unik di mana sebuah negara asing dibenarkan membuka sebuah Maktab Latihan Guru di England pada tahun 1951. Maktab Kirkby telah diikhtiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai “maktab latihan guru dalam bahasa Inggeris yang pertama di Malaya”. Maktab ini beroperasi selama 10 tahun (1952 - 1962) dan telah memberi latihan perguruan kepada lebih 1,500 guru pelatih (trainee teachers) dan 405 guru pelatih (teacher trainers).

Saya dimaklumkan bahawa Maktab Kirkby mendapat bantuan pakar daripada Institut Of Education, University of Liverpool. Pensyarah-pensyarah yang berpengalaman, kurikulum dan kokurikulum digubal khas bagi melatih guru Malaya menggunapakai silibus yang moden, termasuk sesi latihan mengajar di sekolah-sekolah Inggeris, pendedahan kepada tamadun serta gaya hidup Barat yang berdisplin, semua ini telah berjaya melahirkan guru-guru yang hebat dan cemerlang (outstanding).

Saya dimaklumkan oleh Tan Sri Dr Yahaya bahawa Maktab Kirkby yang berbilang bangsa dan agama ini merupakan “miniature Malaya” dan di sinilah semangat “One Malaya” dan “Malaya Boleh” mula disemai dan bercambah subur apabila mereka balik mengajar di seluruh Malaya.

Sekalong Tahniah kepada Persatuan Alumni Maktab Kirkby yang telah menerbitkan buku “Kirkby College – A Heritage” – satu usaha untuk mengumpul dan mendokumentasikan sejarah, peranan dan sumbangan lulusan Maktab Kirkby kepada bidang pendidikan negara kita, khasnya ketika negara baharu merdeka (formative years of education system).
Buku ini juga menjejaki karier dan sumbangan cemerlang bekas pelajar Kirkby dalam pelbagai bidang kehidupan khasnya dalam bidang pendidikan dan perguruan. Saya dapati ramai juga bekas guru Kirkby yang terlibat dalam pentadbiran, undang-undang, perniagaan dan politik, yang secara tidak langsung membuktikan kebolehan versatility guru yang ternyata boleh juga berjaya dalam kerjaya lain daripada guru sekolah.

Di sini izinkan saya memberi pengiktirafan (recognition) kepada beberapa tokoh Kirkby yang telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat:

a. Tan Sri Dr Yahaya sebagai pelopor dan bekas pemimpin gabungan persatuan pendidikan tinggi swasta `(MAPCU = Malaysian Association of Private Colleges and Universities),
b. Tan Sri G. Vadiveloo sebagai wakil rakyat dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara (1992-94),
c. Datuk Baharuddin Marji yang terlibat dalam pengajuran Musabaqah Al-Quran sejak 1971 hingga sekarang,
d. Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan Tokoh Budayawan Negara terkenal dalam bidang teater,
e. Dato Dr M. Thambirajah pengasas Sri Muragan Centre (NGO Pelajaran yang memberi tuisyen percuma kepada lebih 13,000 pelajar India yang miskin),
f. Dato K.N Nadarajah bekas duta Malaysia ke Moroko dan Iraq,
g. Zainal Arshad Zainul Abidin yang pernah menjadi Pengarah Jabatan Pelancongan (TDC) di England selama 10 tahun (1977-86)
h. Raju Nagalinggam sebagai Coach FIFA (bolasepak),
i. Dr Shaari Isa yang telah menulis lebih 40 buah buku akademik dan novel sejarah termasuk novel “Kirkby : the Life and Loves” yang saya lancarkan pada majlis ini.
j. Mokhtar Daud antara pelopor penerbit di Radio Malaya pada tahun 1960-an hingga era RTM (ayah kepada Tan Sri Azman Mokhtar, Khazanah Negara).

Saya telah membaca sepintas lalu buku tersebut dan dapat gambaran positif bahawa sumbang bakti guru-guru Kirkby cukup besar – mereka bertugas dengan penuh dedikasi pada tahun 1950-an dan 1960-an ketika sekolah-sekolah masih daif dan kemudahan pengajaran masih kurang. Walaupun negara kita masih mundur ketika itu dan tahap keselamatan agak membimbangkan (zaman Dharurat 1948-1960) kehadiran guru-guru Kirkby yang terlatih (dari England) dalam bilik-bilik darjah membawa satu pembaharuan dan kesegaran kepada sistem pelajaran, malah satu kayu ukur (bench mark) atau KPI kepada guru-guru yang lain. Pemilihan 4 bekas pelajar Kirkby sebagai Tokoh Guru Kebangsaan: Harith Liki (1988), Idris Tain (1990), Lau Hut Yee (1992) dan Dr Yahaya Ibrahim (1998) membuktikan kejayaan lulusan Kirby dalam bidang pendidikan. Guru Kirkby juga membawa standard yang lebih tinggi sebagai guru sukan di padang sekolah, sebagai guru kokurikulum, sebagai pentadbir pendidikan (guru besar dan pengetua maktab, pengelola dan Nazir sekolah, sebagai pengarah pelajaran dan sebagainya).

Saya menerima baik cadangan Tan Sri Yahaya supaya Kementerian Pelajaran meningkatkan penguasaan mata pelajaran Bahasa Inggeris selain mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dalam sistem pelajaran negara kita. Mungkin dalam usaha kita memperkukuhkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua ialah dengan mewajibkan lulus dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM. Ini cadangan sahaja dan saya perlu mendapat maklumbalas daripada pelbagai pihak khasnya daripada ibu bapa dan juga perlu kita adakan persediaan yang secukupnya jika syarat ini hendak dilaksanakan.

Saya berharap Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia sebagai NGO yang terlibat dalam pendidikan dapat memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubung antara Kementerian Pelajaran dengan guru-guru Kirkby yang telah bersara, supaya Kerajaan dapat memanfaatkan segala pengalaman yang telah terkumpul selama lebih 30 tahun berkhidmat sebagai guru dan pensyarah. Saya percaya masalah kekurangan guru Inggeris dapat diatasi jika kepakaran dan pengalaman lebih kurang 2,000 guru Kirkby dan 2,000 guru Brinsford Lodge dapat kita manfaatkan melalui Skim Pasca Perkhidmatan ini.

Sekian, dengan lafaz Bismillah Hirrahman Nirrahim saya rasmikan Mesyuarat Agung Penubuhan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia dan saya doakan semoga persatuan ini akan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya dan juga dapat memberi sumbang bakti kepada bidang pendidikan dan juga kepada seluruh masyarakat.

Wabillahi-Taufik walhidayah, assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tan Sri Muhyiddin Hj Yassin
Menteri Pelajaran Malaysia

No comments: